Satu penganugerahan diberikan kepada individu atau kumpulan yang mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam usaha mempromosi dan memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia. Anugerah Hak Asasi Manusia ini merupakan yang julung-julung kali dianjurkan dan ianya merupakan salah satu usaha mempromosi serta mempertingkatkan kesedaran tentang konsep hak asasi manusia di samping memberi penghormatan kepada individu dan organisasi yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan usaha dalam memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia.
OBJEKTIF
Objektif Majlis Anugerah Hak Asasi Manusia 2011 ini adalah untuk:
i. Memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh yang cemerlang atas sumbangan mereka dalam memperjuangkan hak asasi manusia; ii. Memberi galakan kepada semua supaya sentiasa berusaha gigih dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta memberi dorongan supaya dapat mempergiatkan lagi sumbangan mereka kepada masyarakat demi hak asasi manusia; iii. Memberi sokongan dan motivasi kepada pelbagai masyarakat di Malaysia termasuklah orang kelainan upaya, warga tua, kanak-kanak serta wanita untuk terus terlibat dalam memperjuangkan hak masing-masing.