|
Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ditubuhkan oleh Parlimen di bawah
Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597.
Akta tersebut telah diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat
sulung SUHAKAM diadakan pada 24 April 2000.
Daya usaha
menubuhkan sebuah institusi hak asasi manusia pada peringkat
nasional di Malaysia bermula dengan penyertaan Malaysia yang aktif
dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia
(United Nations Commission for Human Rights – UNCHR) pada tahun
1993 – 95 apabila Malaysia dilantik sebagai ahli Suruhanjaya tersebut
oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada tahun 1995, Malaysia diberi penghormatan apabila ketua perwakilannya,
Tan Sri Dato' Musa bin Hitam dilantik sebagai Pengerusi sesi ke-52 UNCHR.
Keanggotaan Malaysia dalam UNCHR dilanjutkan bagi penggal kedua, iaitu
dari 1996-1998, dan seterusnya ke penggal ketiga, iaitu dari 2001-2003.
Pelbagai sebab
telah mendorong Kerajaan Malaysia sehingga akhimya mempertimbangkan
penubuhan sebuah institusi kebangsaan hak asasi manusia. Satu
daripadanya ialah penglibatan aktif Malaysia sendiri di dalam UNCHR.
Turut mempengaruhi ialah perhatian antarabangsa terhadap isu hak asasi
manusia natijah daripada kejayaan Persidangan Sedunia berhubung Hak
Asasi Manusia pada tahun 1993 di Vienna. Kerajaan-kerajaan yang menyertainya,
termasuk Malaysia, bersetuju bahawa hak-hak asasi manusia meliputi rangkuman
sejagat dan tidak boleh dipisahkan dan mereka juga menyedari peri pentingnya
diwujudkan badan-badan hak asasi manusia di peringkat negara masing-masing.
Sebagai ketua perwakilan
Malaysia ke UNCHR, Tan Sri Musa telah mencadangkan buat pertama kalinya
kepada kerajaan Malaysia pada tahun 1994 bahawa inilah masa terbaik bagi
Malaysia menubuhkan badan hak asasi kebangsaannya sendiri yang bebas.
Beberapa faktor telah
mendorong cadangan ini: semakin meluasnya tekanan antarabangsa terhadap hak
asasi manusia dan kesedaran bahawa isu ini melewati sempadan dan kedaulatan
sebuah negara; penglibatan aktif Malaysia dalam sistem Bangsa-Bangsa Bersatu;
suasana politik di Malaysia yang kian bertukar dengan para pengundinya semakin
menyedari perkembangan politik disamping masyarakat awam yang bergerak maju dan
bertambah peka tentang politik. Menjelang pertengahan tahun 1990-an, tujuh buah
negara Asia, termasuk dua dari ASEAN - Indonesia dan Filipina – sudahpun menubuhkan
institusi hak asasi kebangsaan masing-masing, manakala Thailand pula sedang membuat
persiapan untuk mengambil langkah yang sama.
Pada 24 April 1999, lima
tahun selepas idea itu diajukan, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar,
mengumumkan bahawa Kerajaan akan membentang satu Rang Undang-Undang dalam sidang
Parlimen pada bulan Julai 1999 bagi menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia. Rang Undang-Undang ini berpandukan kepada
Prinsip Paris
1992 yang memperuntukkan kriteria antarabangsa bagi penubuhan sesebuah suruhanjaya
hak asasi manusia yang bebas dan juga kepada pengalaman institusi hak asasi manusia
yang sudah tertubuh, terutamanya dirantau Asia Pasifik.
Pada 3 April 2000, Kerajaan
mengumumkan perlantikan pengerusi pertama SUHAKAM iaitu Tan Sri Dato’ Musa bin
Hitam dan 12 ahli Suruhanjaya yang akan berkhidmat selama dua tahun dan penggal
perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan. Pelantikan dibuat oleh Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Meskipun Akta Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia Malaysia membenarkan pelantikan sehingga 20 orang ahli, keputusan
dibuat bahawa SUHAKAM akan memulakan tugasnya dengan 13 ahli sehinggalah apabila
lebih ramai ahli dirasakan perlu. Ahli SUHAKAM dipilih bagi mencerminkan kepelbagaian
dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan juga berdasarkan pengalaman,
iltizam, kebebasan dan kewibawaan individu berkenaan.
Untuk membolehkan Suruhanjaya
menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan, beberapa kumpulan kerja yang khusus
telah dibentuk, merangkumi pendidikan dan promosi, pembaharuan undang-undang
serta perjanjian dan suratcara antarabangsa, hak ekonomi, sosial dan kebudayaan,
dan aduan dan siasatan.
 |
| Pejabat
sementara SUHAKAM di Wisma Putra (2000) |
SUHAKAM memulakan operasinya
di sebuah kabin kontena di Kementerian Luar Negeri sebagai sebuah pejabat sementara.
Suruhanjaya akhirnya menyewa premis sendiri di Tingkat 29 dan 30 di Menara Tun Razak,
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan berpindah kesana pada 24 November 2000. Bangunan
itu dipilih kerana lokasinya di tengah-tengah bandaraya dan mudah pula dikunjungi
oleh orang awam.
|