KUMPULAN KERJA PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG DAN PERJANJIAN ANTARABANGSA (LRITWG)
LRITWG mengambil tanggungjawab untuk menasihat dan membantu Kerajaan dalam menggubal undang-undang serta arahan pentadbiran dan prosedur dan memberi cadangan tindakan-tindakan yang perlu diambil. Ini dilaksanakan melalui usaha-usaha Kumpulan Kerja dalam menjalankan kajian-kajian dalam bidang yang menyentuh hak asasi manusia seperti undang-undang tahanan pencegahan serta kebebasan bercakap dan perhimpunan. Kumpulan Kerja juga bergiat dalam bertemu dengan ‘stakeholder' yang berkenaan serta orang ramai dalam membentuk pandangan serta mengumpul berbagai pendapat berkaitan dengan perlaksanan perjanjian hak asasi manusia serta standard antarabangsa di negara ini. Sebagai contoh ialah Konvensyen ke atas Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen ke atas Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW). Kumpulan Kerja juga bertanggungjawab dalam mengendalikan perbincangan terbuka atau bekerjasama dengan kerajaan serta persatuan kemanusiaan dalam menerapkan perspektif atau prinsip hak asasi manusia ke dalam undang-undang dan polisi sedia ada yang diamalkan di Malaysia.
Fungsi:
Dengan menjalankan seksyen 4(1)(b) daripada Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), untuk menasihat dan membantu Kerajaan dalam menggubal undang-undang serta arahan dan prosidur pentadbiran dan mengemukakan cadangan ke atas tindakan-tindakan yang perlu di ambil; dan
Menjalankan seksyen 4(1)(c) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia 1999 (Akta 597),untuk mencadangkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penggunaan atau rujukan kepada perjanjian dan lain-lain dokumen antarabangsa dalam bidang hak asasi manusia.