Secara tradisinya, pelaksanaan hak asasi manusia merupakan tanggungjawab Negara. Namun demikian, pertumbuhan pesat syarikat dan kesan perniagaan terhadap kehidupan masyarakat telah menimbulkan perdebatan global mengenai peranan dan tanggungjawab sektor perniagaan terhadap hak asasi manusia.

Pada Jun 2011, Majlis Hak Asasi Manusia telah menerima pakai Prinsip-prinsip Panduan Bangsabangsa Bersatu Mengenai Hak Asasi Manusia dan Perniagaan (Prinsip-prinsip Panduan). Prinsipprinsip panduan ini telah dibentuk oleh Profesor John Ruggie, Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Hak Asasi Manusia dan Perniagaan. Prinsip-prinsip panduan tersebut menekankan tanggungjawab Negara untuk melindungi hak asasi manusia; memastikan aktor-aktor lain menghormati hak asasi manusia dan memastikan akses kepada remedi jika berlaku pencabulan hak asasi manusia.

Di Malaysia, kesan aktiviti perniagaan kepada hak asasi manusia menjadi lebih ketara. Banyak pihak melahirkan kebimbangan terhadap sikap sembarangan pihak syarikat ketika menjalankan aktiviti mereka. Tahap pemahaman mereka terhadap hak asasi manusia dan tanggungjawab sosial serta komitmen untuk memenuhi tanggungjawab ini, masih di peringkat awal. Oleh itu, SUHAKAM mengambil langlah untuk melaksanakan lebih banyak program kesedaran untuk sektor perniagaan termasuklah syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).

(i)                 Projek Penyelidikan SUHAKAM-RWI

Pada akhir tahun 2012, Raoul Wallenberg Institute of Human Rights and Humanitarian Law (RWI) telah memberikan geran penyelidikan kepada Suruhanjaya untuk menjalankan penyelidikan mengenai ‘Peranan SUHAKAM dalam Menangani Pencabulan Hak Asasi manusia oleh Sektor Korporat: Kajian terhadap Syarikat Pembalakan dan Perladangan di Malaysia’. Suruhanjaya telah memilih topik berdasarkan isu yang dibangkitkan semasa Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli di Malaysia (NI).

Suruhanjaya juga telah menganjurkan perbincangan berasingan dengan industri ini dan mangsa yang terlibat terutamanya melibatkan masyarakat Orang Asal bertujuan untuk mengumpulkan maklumat. Laporan itu telah dikemukakan kepada RWI pada 19 Disember 2013.

(ii)               Impak Perjanjian Perkongsian Trans-Asia Pasifik (TPPA) terhadap Hak Asasi Manusia di Malaysia

Prinsip ke-9 Prinsip-Prinsip Panduan mengkehendaki Kerajaan, di samping melindungi pelabur, mengekalkan dasar dan keupayaan peraturan untuk melindungi hak asasi manusia dalam perundingan triti pelaburan, perjanjian perdagangan bebas atau kontrak pelaburan. Suruhanjaya telah memantau perundingan mengenai TPPA bagi memastikan Kerajaan meletakkan perlindungan yang sewajarnya sebagaimana yang dihuraikan di bawah Prinsip ke-9 ini. Seperti yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya 2012, punca utama kepada ketidakpuasan hati di kalangan kumpulan berkepentingan adalah kurangnya konsultasi awam. Walau bagaimanapun, pada tahun 2013, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengambil langkah positif bagi mengatasi hal ini. Pada 1 Ogos, MITI telah menganjurkan hari terbuka untuk menerangkan rasional bagi Malaysia menyertai perundingan TPPA dan bagi mendapatkan maklum balas. Suruhanjaya mengulangi seruannya kepada Kerajaan untuk memastikan segala perjanjian perdagangan adalah selari dengan obligasi di bawah triti PBB yang telah ditandatangani oleh Malaysia iaitu CRC, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan CRPD.

(Rujuk Bab 3 Laporan Tahunan SUHAKAM 2012 dan 2013 untuk maklumat lanjut)

Terkini: 

Perbincangan Mejabulat mengenai Hak Asasi Manusia dan Perniagaan di Malaysia – Klik sini untuk maklumat selanjutnya