Statistik yang dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, menunjukkan bahawa terdapat 231 kes kematian dalam tahanan di antara tahun 2000 dan Mei 2013, dengan hanya dua kematian disebabkan oleh pihak polis. Mengikut statistik terkini daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sejak tahun 2000 hingga Ogos 2013, sejumlah 233 orang telah dilaporkan mati dalam tahanan polis. Sebanyak 19 kes kematian telah dilaporkan pada tahun 2013 manakala empat kes dilaporkan sepanjang dua bulan pertama tahun 2014.

SUHAKAM memandang serius terhadap isu kematian dalam tahanan kerana setiap individu mempunyai hak kepada nyawa seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Walaupun tidak terdapat satu formula yang mudah untuk memastikan keselamatan orang yang ditahan, SUHAKAM berpendapat bahawa adalah penting bagi semua pihak yang berkepentingan bekerjasama mencegah kematian dalam tahanan.

Sebagai salah satu usaha untuk mengatasi isu sistemik ini, SUHAKAM telah memulakan satu kajian untuk meneliti keadaan yang membawa kepada atau menyebabkan kematian dalam tahanan. Tujuan kajian ini juga adalah untuk mengenal pasti tren dan faktor yang menyebabkan kematian serta pengajaran untuk mengelakkan kematian di masa hadapan. Laporan ini juga bertujuan untuk menilai keadaan pegawai polis yang bertanggungjawab dalam mentadbir dan memantau orang yang ditahan.

Bagi tujuan kajian ini, SUHAKAM akan melawat 43 buah lokap in seluruh Negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi mengumpul data dan maklumat utama untuk dimasukkan ke dalam satu laporan yang lengkap. Hasil laporan ini akan mengandungi maklumat terperinci berkenaan hasil dapatan Suruhanjaya dan syor-syor tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah kejadian kematian dalam tahanan polis.

Sila dapatkan laporan penuh pada pautan ini