Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di Sekolah (ATHAM)

 “ Secara meluasnya, pendidikan hak asasi manusia dianggap sebagai sesuatu yang penting bagi hak setiap kanak-kanak kepada pendidikan yang berkualiti, sesuatu yang tidak hanya mengajar kemahiran membaca, menulis dan mengira, tetapi juga memantapkan keupayaan kanak-kanak untuk menikmati hak asasi manusia sepenuhnya di samping menggalakkan budaya yang menerapkan nilai-nilai hak asasi manusia. “

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan kerjasama United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) and Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR) telah menubuhkan satu pelan tindakan iaitu Pelan Tindakan bagi Program Pendidikan Hak Asasi Manusia Sedunia (Plan of Action: World Programme for Human Rights Education). Pelan ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran, sekolah dan badan-badan lain yang berkaitan dengan pendidikan negara untuk bekerjasama bagi mengintegrasikan pendidikan hak asasi manusia secara efektif dalam sistem persekolahan negara. pelan ini telah ditandatangani oleh Negara-Negara Anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Member States of the United Nations General Assembly) pada 14 Julai 2005. Malaysia, sebagai Negara Anggota bertanggungjawab bagi melaksanakan Pelan Tindakan ini.

Fasa Pertama Pelan Tindakan: World Programme for Human Rights Education memperuntukkan bahawa “Tata pemerintahan yang baik merujuk kepada pelaksanaan kuasa melalui proses politik serta penerapan ketelusan dan akauntibiliti, dan menggalakkan penyertaan masyarakat. Dalam membicarakan isu-isu hak asasi manusia, kita selalu merujuk kepada standad yang ditetapkan dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan diperjelaskan dalam beberapa konvensyen antarabangsa yang menentukan standad minima untuk memelihara martabat manusia.”

Selaras dengan Pelan Tindakan Pendidikan ini dan juga fungsi utama Suruhanjaya untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia, SUHAKAM telah menjalankan beberapa program pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menanam kesedaran dan amalan Hak Asasi Manusia di kalangan guru dan pelajar sekolah.

Pada tahun 2009, Suruhanjaya dan KPM memulakan program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) di lima buah (5) sekolah yang melibatkan warga sekolah yang lebih komprehensif. Matlamat program ini adalah untuk :-

  1. Menggalakkan pelajar dan warga sekolah untuk memberi perhatian dan mengambil langkah-langkah untuk mengamalkan hak asasi manusia dan hak kanak-kanak.
  2. Memupuk sikap hormat-menghormati dan bertanggungjawab berkaitan hak asasi manusia dan hak kanak-kanak serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
  3. Meningkatkan pemahaman dan amalan hak asasi manusia dan hak kanak-kanak untuk kesejahteraan hidup.
  4. Menggalakkan pelajar dan guru untuk memberi perhatian kepada aspek-aspek hak asasi dan hak kanak-kanak dalam merancang dan melaksanakan aktiviti di sekolah.
  5. Berkongsi pengalaman tentang hak asasi manusia dan hak kanak-kanak yang telah diamalkan di sekolah dengan masyarakat setempat.
  6. Mengukuhkan perhubungan dan pergaulan di kalangan pelajar tanpa mengira kaum, agama dan jantina.

Bilangan sekolah yang terlibat dalam program ini meningkat kepada 17 pada tahun 2011 dan sehingga tahun 2016, terdapat 222 sekolah yang mengambil bahagian di Seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dalam usaha untuk memantau pelaksanaan program ini, SUHAKAM menjalankan lawatan berkala ke sekolah-sekolah yang terlibat untuk memerhatikan perkembangan dan, jika perlu, memberi bimbingan dan nasihat kepada sekolah-sekolah berkenaan.