Isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran adalah isu-isu yang kompleks yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan aktor di seluruh rantaian pemerdagangan, dengan pelbagai modus operandi.

Memandangkan Malaysia merupakan destinasi popular di kalangan pekerja asing atas sebab ekonomi atau sebagai negara transit, kumpulan pekerja ini terdedah menjadi mangsa pemerdagangan seks dan buruh. Aduan berkaitan isu pemerdagangan orang sentiasa dilaporkan kepada SUHAKAM selama ini. Walaupun Suruhanjaya bukan sebuah agensi penguatkuasa bagi jenayah rentas sempadan,  ia sentiasa bertindak sebagai pengantara bagi pengadu dan agensi penguatkuasa untuk memastikan tindakan segera dan sewajarnya diambil ke atas setiap aduan.

SUHAKAM berpendapat bahawa isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran harus ditangani dengan kadar segera oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Dalam menyokong usaha negara dalam memerangi pemerdagangan orang, SUHAKAM telah mengadakan pelbagai sesi dialog dan perbincangan meja bulat bersama agensi Kerajaan yang berkenaan dan pihak berkepentingan yang lain, dan juga mengemukakan syor-syor kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di Malaysia. SUHAKAM juga mengadakan lawatan berkala ke pusat perlindungan mangsa pemerdagangan orang dan sentiasa mempromosi kesedaran di kalangan semua lapisan masyarakat mengenai kebahayaan pemerdagangan orang serta kepentingan untuk memastikan hak asasi mangsa pemerdaganan orang dijamin mulai saat mereka diselamatkan dan seterusnya, semasa proses pemulihan sehinggalah saat mereka diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.

SUHAKAM memandang serius terhadap Laporan Pemerdagangan Orang 2014 (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Malaysia telah diturunkan kepada Kedudukan Ketiga, Senarai Pemerhatian (Tier 3, Watch List) atas kegagalan mematuhi sepenuhnya standard minimum bagi penghapusan pemerdagangan manusia di bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 (TVPA), walaupun dua pengecualian berturut-turut telah diberikan kepadanya, masing-masing pada tahun 2012 dan 2013.

Antara perkara yang menjadi kebimbangan SUHAKAM adalah penemuan Jabatan Negara AS bahawa usaha Malaysia dalam memerangi pemerdagangan orang dalam tiga aspek utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan adalah tidak mencukupi atau memuaskan, dan juga sebahagian daripada ketiga-tiga aspek itu telah diketengahkan secara konsisten oleh pihak Suruhanjaya sebelum ini.

Memandangkan kesan yang tidak diingini akibat daripada penurunan kedudukan ini oleh Jabatan Negara AS, terutamanya ke atas rekod hak asasi manusia dan pembangunan ekonomi negara, SUHAKAM menyeru Kerajaan untuk mempergiatkan usaha untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, dan juga memastikan perlindungan sepenuhnya dan bantuan diberikan kepada mangsa pemerdagangan dan penyeludupan di semua peringkat, selaras dengan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh Protokol Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Mencegah, Menyekat dan Menghukum Pemerdagangan Orang terutama di kalangan Wanita dan Kanak-kanak.

Sila rujuk kepada Laporan Tahunan SUHAKAM untuk keterangan lanjut mengenai usaha pihak Suruhanjaya berkaitan bidang kerja ini.