(a)   Hak Tanah Orang Asli/Asal

Sejak penubuhannya pada tahun 1999, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) telah berhadapan dengan pelbagai aduan daripada Orang Asli/Asal di Semenanjung Malaysia dan Anak Negeri di Sabah dan Sarawak, atau secara berkumpulan lebih dikenali sebagai Orang Asal (Indigenous Peoples) Malaysia berkaitan hak asasi mereka, secara spesifik, dakwaan mengenai pencabulan hak-hak tanah adat masyarakat Orang Asal.

SUHAKAM berpendapat bahawa isu tanah yang berterusan dan sistemik yang mempengaruhi Orang Asli/Asal dalam negara ini dapat dikendalikan dengan cara terbaik melalui satu pendekatan yang komprehensif dan mendalam dengan tujuan untuk memahami dengan lebih baik lagi mengenai isu tanah dan cara terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi kepentingan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia komuniti Orang Asli/Asal di negara ini. Sehubungan dengan ini, SUHAKAM telah menjalankan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia pada julung kali untuk meneliti punca utama isu tanah yang dihadapi oleh Orang Asli/Asal dari sudut hak asasi manusia. Inkuiri Nasional yang dijalankan dari Disember 2010 hingga Jun 2012 ini melibatkan beberapa siri pendengaran awam di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Hasil dapatan kajian ini telah dikumpulkan dalam sebuah laporan komprehensif yang bertajuk “Laporan Mengenai Inkuiri Nasional Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia” (Laporan Inkuiri Nasional) yang mengandungi isu dan syor utama untuk pertimbangan dan tindakan susulan pihak Kerajaan. Berikutan pengumuman umum Laporan Inkuiri Nasional pada 5 Ogos 2013, YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan keputusan Kabinet untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk mengkaji secara teliti laporan tersebut.

Suruhanjaya menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Khas oleh Kerajaan untuk mengkaji hasil dapatan dan syor Laporan Inkuiri Nasional. Suruhanjaya berharap Pasukan Petugas Khas ini akan menyiapkan laporannya dalam masa terdekat dan memastikan pelaksanaan awal dan efektif ke ke atas syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan NI Suruhanjaya.

Sebagai pelan susulan, SUHAKAM merancang untuk mengadakan taklimat bersama pelbagai pihak berkepentingan berhubungan laporan Petugas Khas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Untuk maklumat lanjut mengenai Inkuiri Nasional, sila rujuk kepada: http://www.suhakam.org.my/ms/national-inquiry/   

(b)   Hak kepada Pendidikan bagi Kanak-kanak Orang Asli

Walaupun pendidikan rendah adalah wajib bagi semua kanak-kanak, namun tidak ada peningkatan yang positif dalam kehadiran di kalangan kanak-kanak Orang Asli khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Oleh yang demikian, SUHAKAM sering kali mengadakan lawatan ke sekolah dan penempatan komuniti Orang Asli untuk menilai status pendidikan yang diterima oleh mereka.

SUHAKAM juga mengadakan mesyuarat dan perbincangan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk masyarakat Orang Asli, pihak berkuasa sekolah serta agensi kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan isu-isu berhubung akses kepada pendidikan yang dihadapi oleh kanak-kanak Orang Asli.

edu

(c)  Penglibatan di peringkat serantau  

SUHAKAM juga memegang tanggungjawab sebagai ketua Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI) bagi Projek Bersama Forum Institusi Hak Asasi Manusia Nasional Asia Tenggara (SEANF) mengenai Hak Orang Asal dan telah menganjurkan satu Konsultasi Serantau pada 14 Mac 2014 di Kuala Lumpur, yang dianjurkan bersama Pakatan Orang Asal Asia, Rangkaian Orang Asal Malaysia dan Rakan Organisasi Komuniti di Sabah. Sesi tersebut dihadiri oleh Pelapor Khas PBB bagi Hak Orang Asal, Prof James Anaya dan juga wakil NHRI dari Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand dan juga wakil dari pertubuhan Orang Asal dan Badan bukan Kerajaan (NGO) di Asia Tenggara.

Laporan lengkap mengenai Konsultasi Serantau boleh dimuat turun di sini.

(d) Lawatan ke penempatan Penan yang terjejas oleh projek pembinaan empangan di Sarawak

Susulan kepada aduan yang dikemukakan oleh kumpulan Penan dan aktivis, SUHAKAM telah mengadakan lawatan tapak ke kawasan penempatan Penan yang terjejas oleh projek Empangan Murum di Sarawak. SUHAKAM juga mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk masyarakat Penan dan pemaju projek berkenaan.

 edu1