Pakatan Global bagi Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Global Alliance of National Human Rights Institutions – GANHRI), yang sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa bagi Institusi-Institusi Kebangsaan untuk Promosi dan Perlindungan Hak Asasi Manusia (ICC), adalah sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1993 dan terdiri daripada institusi-institusi hak asasi manusia kebangsaan (national human rights institutions – NHRI) dari seluruh dunia. Penubuhan GANHRI bertujuan untuk mengukuhkan NHRI berdasarkan  Prinsip-Prinsip Paris dan bertindak sebagai pemudah cara bagi penglibatan NHRI dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain.

GANHRI kini terdiri daripada 111 ahli dari empat rantau, iaitu Afrika, Americas, Asia Pasifik dan Eropah. SUHAKAM telah menjadi ahli GANHRI sejak tahun 2002.

GANHRI mempunyai beberapa jawatankuasa:

  i. Biro: Jawatankuasa ini merupakan Lembaga Pengurusan bagi GANHRI. Semua Jawatankuasa Kecil dan Kumpulan Kerja melapor kepada Biro GANHRI. Ia dianggotai oleh 16 wakil NHRI berstatus ‘A’ atau yang mematuhi Prinsip-Prinsip Paris, daripada empat rantau tersebut di atas.

 ii. Jawatankuasa Kewangan: Ia membantu dan menasihati Biro atas segala hal ehwal kewangan GANHRI.

 iii. Jawatankuasa Kecil Pentauliahan (SCA): Ia menilai permohonan pentauliahan NHRI dan pematuhan mereka terhadap Prinsip-Prinsip Paris. Prinsip-Prinsip Paris, yang telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1993, menetapkan piawaian minima bagi kebebasan dan keberkesanan NHRI dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.

 iv. Kumpulan Kerja mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia: Ia telah ditubuhkan untuk memudahkan penglibatan NHRI dalam bidang perniagaan dan hak asasi manusia. SUHAKAM merupakan salah satu ahli Kumpulan Kerja tersebut untuk tempoh dua tahun sejak Mac 2015.

 v. Kumpulan Kerja mengenai Pembangunan Mampan: Kumpulan Kerja ini telah ditubuhkan pada tahun 2014 kerana peranan penting NHRI dalam pelaksanaan Matlamat-matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Semua ahli GANHRI menjalani proses pentauliahan setiap lima tahun, yang diselia oleh SCA. Setelah menjalani pentauliahan pada tahun 2010, SUHAKAM sekali lagi telah menjalani proses pentauliahan GANHRI pada bulan November 2015. Hasil daripada penilaian tersebut, SUHAKAM telah diberikan status ‘A’ untuk tempoh 2016-2020. Pada Januari 2016, sebanyak 72 NHRI termasuk SUHAKAM telah diberikan sijil status ‘A’ oleh GANHRI.

GANHRI, dengan kerjasama Bahagian Institusi Kebangsaan dan Mekanisme Serantau (National Institutions and Regional Mechanisms Section NIRMS) daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), menganjurkan mesyuarat tahunan am, persidangan antarabangsa dan mesyuarat Biro GANHRI serta SCA.

Sebagai salah satu ahli GANHRI, SUHAKAM telah mengambil bahagian secara aktif dalam kerja-kerja dan aktiviti GANHRI di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai GANHRI, sila rujuk kepada:

http://nhri.ohchr.org/EN/Pages/default.aspx

Untuk maklumat lanjut mengenai proses pentauliahan GANHRI dan Prinsip-Prinsip Paris, sila rujuk kepada:

http://nhri.ohchr.org/EN/AboutUs/ICCAccreditation/Pages/default.aspx