Pada tahun 2013, Suruhanjaya telah memutuskan untuk memilih isu “Hak kepada Kesihatan di dalam Penjara” sebagai salah satu isu utama dalam usaha bagi memastikan Perlembagaan dan Perundangan di Malaysia dilihat selari dengan isu kesihatan, keselamatan dan maruah insan bagi mewujudkan keadilan yang menjunjung prinsip hak asasi setiap individu.

Hak kepada kesihatan, termasuklah kesihatan mental dan fizikal, merupakan perkara asas dalam hak asasi bagi kehidupan setiap insan. Setiap insan berhak untuk menikmati sepenuhnya cara hidup yang sihat tanpa wujudnya sebarang diskriminasi daripada pihak-pihak tertentu.

Salah satu implikasi yang akan diterima apabila seseorang itu dipenjarakan adalah mereka akan kehilangan hak kepada kebebasan. Walaupun kekangan terhadap kebebasan menyebabkan hak-hak yang lain turut disekat, ini tidak bermakna pihak berkuasa berhak menafikan hak banduan sepenuhnya.

Banduan juga merupakan ‘vulnerable members’ yang unik kerana mereka berada di bawah kawalan pihak lain sepenuhnya sebagaimana contoh, mereka berada di bawah ihsan pihak penjara. Ini kerana, pengurusan berkaitan dengan aktiviti harian dan kebajikan banduan terletak di bawah kawalan Pegawai Penjara, seperti makan, tidur, atau semasa mereka membuat apa-apa perkara berkaitan dengan diri mereka. Selain itu, kemudahan untuk mendapatkan rawatan kesihatan turut berada di bawah kawalan pihak penjara.

Konsep ‘Hak kepada Kesihatan’, haruslah dilaksanakan tanpa mengira status individu berdasarkan undang-undang, supaya penjagaan kesihatan dapat mencapai piawaian secara menyeluruh, termasuklah banduan, yang mana klinik di kebanyakan penjara di Malaysia dilihat tidak mencapai piawaian yang minimum.

Suruhanjaya turut mengenalpasti bahawa salah satu kunci utama yang menentukan prestasi bagi mana-mana institusi adalah kakitangan di dalam institusi tersebut. Bagi kes di penjara, cabaran yang dihadapi oleh kakitangan mereka adalah sangat unik. Ini kerana mereka harus bekerja dalam persekitaran yang mencabar memandangkan tugasan yang diterima menuntut mereka menangani sebarang keganasan yang berlaku semasa bekerja di samping tugas-tugas yang sukar untuk mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman di dalam penjara. Selain itu, kekangan dari aspek pengurusan kerja seperti jadual waktu kerja, tempoh bekerja yang panjang dan bertugas berdasarkan syif turut menjadikan kerja di dalam penjara mencabar.

Walaupun terdapat penyelidikan berkaitan dengan kesan persekitaran kerja ke atas kakitangan penjara, namun tidak banyak tindakan yang diambil untuk menangani isu-isu tersebut. Suruhanjaya berpandangan bahawa perubahan atau penambahbaikan di dalam penjara haruslah mengambil kira beberapa masalah di dalam system pengurusan penjara termasuklah;

  • Rawatan perubatan di dalam penjara
  • Penjagaan kesihatan mental di dalam penjara bagi kakitangan dan banduan
  • Keadaan / Infrastruktur penjara
  • Tempoh waktu bekerja / Jadual bekerja bagi kakitangan penjara

Bagi mengenalpasti isu yang dihadapi oleh kakitangan penjara dan juga banduan, Suruhanjaya sedang menjalankan satu siri lawatan ke penjara di seluruh Malaysia untuk mengumpul data dan maklumat untuk dimasukkan ke dalam satu laporan bertulis yang komprehensif. Laporan ini akan mengandungi maklumat terperinci berkaitan hasil dapatan Suruhanjaya serta syor-syor bagi menambahbaikan lagi piawaian kesihatan di penjara.