ANUGERAH INDIVIDU – Jerald Joseph

jerald

Bermula 20 tahun yang lalu, Jerald Joseph menjadi jurulatih dalam bidang hak asasi manusia, di peringkat domestik dan antarabangsa. Beliau memfokuskan kepada isu-isu berkenaan hak asasi manusia khususnya mengenai hak masyarakat Orang Asli/Asal (OA) serta kerja-kerja advokasi untuk menghapuskan diskriminasi di Malaysia sejak pertengahan 1990-an.

Beliau berpengalaman luas bekerja bersama-sama masyarakat di peringkat akar umbi, menerusi prinsip-prinsip organisasi komuniti dalam memartabatkan hak asasi manusia.

Hasil kerjanya yang menyokong dan memperkasakan organisasi OA telah membawa kepada perubahan positif, apabila makin ramai ketua masyarakat OA tampil ke hadapan dan bersatu menentang pelbagai bentuk diskriminasi dan pencabulan yang menjejaskan masyarakat mereka. Selain kesungguhannya berbakti kepada masyarakat OA, beliau masih meneruskan kerja-kerja berkaitan isu hak asasi manusia yang lain terutamanya Hak kepada Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ESCR) serta Pendekatan Berasaskan Hak Asasi Manusia dalam Pembangunan (HRBA) sejak 10 tahun yang lalu.

Pelopor kepada program anti-diskriminasi, antara kejayaan beliau adalah menerima kunjungan daripada Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai ‘Contemporary Forms of Racism, Racial Discrimination, Xenophobia and Related Intolerance’ dan Pakar Bebas PBB Mengenai Isu Hak Golongan Minoriti, ke Malaysia.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau terus mempertahankan hak golongan terpinggir di Malaysia tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Kesungguhan dan dedikasi beliau kepada kesedaran dan perkembangan hak asasi manusia di Malaysia merupakan sumbangan yang sewajarnya tidak dipertikaikan.

ANUGERAH ORGANISASI – Perak Society for the Promotion of Mental Health

mental

Diasaskan oleh Tan Sri Dato’ M Mahadevan, Perak Society for the Promotion of Mental Health telah ditubuhkan pada Oktober 1967. Persatuan ini pada mulanya merupakan projek perintis untuk pemulihan pesakit wanita yang mengalami gangguan emosi dan pesakit mental yang telah sembuh. Pusat jagaan harian untuk wanita telah ditubuhkan di Jalan Clarke, Ipoh di mana pesakit-pesakit wanita yang mengalami gangguan psikiatri dibawa dari Hospital Bahagia, Ulu Kinta.

Aktif mempromosikan kesihatan mental kepada masyarakat tempatan, dalam dan luar negara, persatuan ini yang bertujuan untuk menghapuskan prejudis orang ramai terhadap pesakit mental yang telah sembuh, telah memulakan program kesedaran awam bagi mendidik orang ramai mengenai keperluan gaya hidup mental yang sihat sejak tahun 1994. Meskipun sukar mengubah minda masyarakat, persatuan ini berharap agar dapat menghapuskan stigma masyarakat terhadap penyakit mental dan individu-individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Selain daripada menyediakan sesi kaunseling dan program-program pemulihan, persatuan ini juga menyediakan persekitaran kondusif kepada pesakit untuk memperolehi kemahiran serta keyakinan untuk kembali semula ke pangkuan masyarakat. Ia turut membantu menghubungi perniagaan tempatan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada pesakit yang menunjukkan minat untuk bekerja dan memulihkan keadaan mental mereka.

Sepanjang 48 tahun penubuhannya, ratusan wanita di Malaysia mendapat manfaat daripada rawatan pemulihan dan program-program yang disediakan oleh persatuan ini. Ia memberikan sinar harapan kepada golongan wanita kurang upaya dari segi psikososial untuk merealisasikan impian mereka untuk mempunyai keluarga, pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.

ANUGERAH MEDIA CETAK- Arulldas Sinnappan

arulldas

Bertugas sebagai wartawan di Malay Mail, Arulldas Sinnappan memulakan kariernya dalam bidang kewartawanan pada tahun 1980. Sejak 35 tahun lalu, beliau menulis pelbagai rencana mengenai kes-kes jenayah dan pelanggaran hak asasi manusia yang dihadapi oleh warga asing untuk beberapa akhbar tempatan.

Sejak tahun 2014, beliau telah melaporkan secara meluas berita-berita berhubung kematian warga asing melalui beberapa siri laporan siasatan yang dijalankan sendiri oleh beliau dalam usahanya mendedahkan sindiket pemerdagangan manusia di Malaysia.

Rencana beliau ‘Gruesome Myanmar Communal Murders Grip Penang’,24 Die in Deadly Crossings’ dan ‘Doesn’t Anybody Watch the Border Security Fence’, menceritakan pengalaman mangsa yang terselamat daripada kancah pemerdagangan manusia, dan kisah mereka di ‘kem kematian’ yang didirikan secara haram di sempadan Malaysia-Thailand. Percubaan berani beliau melalui rencananya yang bertajuk ‘Migrant Prison Camp Uncovered’ dan ‘Our Expose Sparks Search for Mass Graves’ telah membawa kepada penemuan beberapa buah kubur, yang akhirnya disahkan kewujudannya oleh Kerajaan Malaysia.

Laporan siasatan beliau menekan dan mengesahkan ancaman sindiket penyeludupan yang berlaku di Malaysia dan secara tidak langsung meningkatkan sentimen yang kuat di kalangan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap isu pemerdagangan manusia.

Tindakannya yang terpuji serta keberaniannya bersuara terhadap isu pemerdagangan manusia ini membawa kepada keperluan mendesak terhadap undang-undang semasa mengenai anti-pemerdagangan bagi memastikan sindiket pemerdagangan manusia ini lumpuh dan pada masa yang sama menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada mangsa.

ANUGERAH MEDIA – Masjaliza Hamzah

masjaliza

Masjaliza Hamzah merupakan wartawan media cetak selama 10 tahun sebelum menyertai sektor masyarakat sivil. Beliau kini merupakan sub-editor untuk meja Bahasa Inggeris di Malaysiakini.com, sebuah portal berita bebas.

Perjalanannya dalam bidang kewartawanan menyaksikan beliau menelusuri isu-isu penting, antaranya yang melibatkan hak-hak wanita kepada pembangunan dan keadilan sosial. Beliau membuat liputan berhubung isu-isu yang merangkumi antaranya kelewatan pelaksanaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 serta respons NGO Malaysia terhadap Persidangan Dunia Keempat di Beijing, China pada tahun 1995.

Beliau adalah penyokong kuat kepada kebebasan media dan telah mengadakan beberapa forum dan latihan mengenai kebebasan media untuk wartawan. Beliau juga menjalankan projek, ‘Watching the Watchdog’, yang merupakan analisis menyeluruh kepada liputan media semasa Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13 (PRU13). Hasil daripada projek ini, beliau telah memberi keterangan di hadapan panel pakar di People’s Tribunal, membentangkan penyelidikan asal berhubung ‘Views from the Newsroom: In-depth Interviews with Malaysian Journalists on Issues Faced in GE13 Coverage’.

Selain bertugas dalam bidang kewartawanan, Masjaliza merupakan aktivis hak asasi manusia yang lantang bersuara, diiktiraf baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa sebagai pejuang kepada kebebasan media dan hak wanita. Merupakan salah seorang perintis media aktivisme di negara ini, beliau terus menggesa Kerajaan untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 semenjak tahun 1999.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Masjaliza terus gigih meneruskan usahanya tanpa mengenal erti jemu dalam menjalankan kempen, penyelidikan dan projek mengenai isu hak asasi manusia. Beliau tidak pernah berputus asa untuk terus bergerak ke hadapan dan menyuarakan pendapat khususnya dalam hal-hal berkaitan hak wanita.

ANUGERAH AGENSI KERAJAAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba)

bomba

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau lebih dikenali sebagai Bomba diberi mandat untuk memberikan khidmat pencegahan dan pemadaman kebakaran, menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan aspek keselamatan dan memadam kebakaran serta menyediakan khidmat kemanusiaan yang cekap dan berkesan

Di bawah program ‘Kejiranan Indah’, Bomba telah melaksanakan projek ‘Pembinaan Semula Rumah’ sejak tahun 2012. Melangkaui tugas hakiki, projek ini bertujuan untuk membantu keluarga yang kurang bernasib baik, yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya dan mereka yang tidak berkemampuan, untuk membina semula rumah mereka yang musnah dalam kebakaran dan juga untuk membina semula rumah usang milik keluarga miskin.

Berkonsepkan kerja berpasukan dan semangat kesukarelawan, Bomba telah berjaya membina 85 buah rumah yang melibatkan rumah mangsa kebakaran dan rumah usang dari Jun 2012 sehingga 2015. Berbangga dengan slogan ‘Cepat dan Mesra’, mereka berjaya membina rumah-rumah tersebut hanya dalam masa yang singkat dengan menggunakan kepakaran kakitangan dan sumber mereka sendiri.

Keutuhan dedikasi yang ditunjukkan oleh warga Bomba dalam memenuhi hak asasi individu dan keluarga yang kurang bernasib baik kepada perumahan wajar telah membolehkan golongan ini menikmati bukan sahaja hak untuk perumahan wajar dan selamat, bahkan juga hak untuk hidup secara keseluruhannya.

ANUGERAH KHAS – Nurul Eeman binti Haji Mansor

eeman

Berusia 17 tahun, Nurul Eeman binti Haji Mansor merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (SMK TTDI).

Sejak usianya 14 tahun lagi, beliau telah aktif mempromosikan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) di pelbagai platform tempatan dan antarabangsa. Penglibatan aktif beliau dalam program CRC Suruhanjaya bermula dengan pertandingan merekabentuk booklet CRC yang dianjurkan Suruhanjaya pada tahun 2013.

Nurul Eeman telah merekabentuk booklet Konvensyen Hak Kanak-kanak yang kemudiannya diterbitkan oleh Suruhanjaya sebagai bahan pendidikan untuk para guru dan pelajar sekolah. Sesalinan booket itu kini disimpan di White House dan Perpustakaan Lincoln.

Beliau turut aktif mempromosikan kepentingan hak kanak-kanak melalui pelbagai program yang melibatkan kanak-kanak orang asli, orang ramai serta orang-orang kenamaan dari dalam dan luar negara.

Beliau merupakan contoh terbaik program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di Sekolah, atau lebih dikenali sebagai ATHAM yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya pada tahun 2009.

Inisiatif terpuji beliau dalam mempromosikan hak kanak-kanak sewajarnya menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.