Suruhanjaya telah menubuhkan Jawatankuasa Inkuiri Nasional yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan serta menjayakan Inkuiri Nasional.
Inkuiri Nasional adalah satu mekanisme yang digunakan bagi mencapai mandat Suruhanjaya untuk meneliti isu-isu hak asasi manusia dengan tujuan mencari penyelesaian secara sistemik. Dengan menggunakan pendekatan hak asasi manusia, Inkuiri Nasional membolehkan penelitian aduan yang lebih meluas berbanding aduan individu. Selain itu, ia merupakan satu mekanisme yang mempunyai dwi-fokus, iaitu memenuhi fungsi Suruhanjaya untuk menyiasat isu pelanggaran hak asasi dan mendidik masyarakat berhubung hak asasi manusia. Sesuatu Inkuiri Nasional yang efektif perlu disokong oleh perlaksanaan kuasa untuk mensapina saksi dan dokumen, dan menghasilkan laporan awam yang mengandungi cadangan kepada pihak-pihak yang berkenaan.
Inkuiri Nasional juga mempunyai manfaat pendidikan yang mampu mendidik orang awam dan semua pihak terlibat berhubung sesuatu isu dan dianggap lebih berkesan dalam menyiasat punca-punca sistemik pencabulan hak asasi manusia. Selain itu, besar kemungkinan titik paling utama Inkuiri Nasional ialah penyertaan meluas setiap orang yang terlibat dalam sesuatu isu. Dengan ini, semua perspektif dapat dikenalpasti bagi merumuskan cadangan-cadangan yang lebih komprehensif sama ada secara umum atau khusus untuk menangani isu dengan lebih berkesan.