RASIONAL

SUHAKAM memilih Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli atas beberapa rasional berikut:

    • SUHAKAM menerima banyak aduan dan memorandum mengenai pelanggaran hak asasi manusia berkenaan hak tanah Orang Asal/Asli di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak penubuhannya pada tahun 2000.  Penyelesaiannya amat rumit dan mengambil masa yang lama.
    • Artikel 161A(5) Perlembagaan Persekutuan membenarkan undang-undang di negeri Sabah dan Sarawak bagi memperuntukkan tanah rizab Orang Asal atau memberi milik  tanah rizab kepada Orang Asal atau memberi keutamaan kepada Orang Asal dalam isu pemilikan tanah oleh Kerajaan Negeri.
    • Artikel 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan boleh menggubal  undang-undang untuk “perlindungan, kesentosaan dan kemajuan” Orang Asli, termasuk merizabkan tanah. Ini seharusnya difahami bahawa Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Semenanjung Malaysia mempunyai tanggungjawab fidusiari/amanah untuk memastikan hak-hak Orang Asli, terutama berkaitan tanah adat, diberi perhatian sewajarnya.
    • Artikel 26 Perisytiharan Hak Asasi Orang Asal Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa Orang Asli/Asal mempunyai hak ke atas tanah, wilayah dan sumber yang dimiliki atau diduduki atau yang digunakan atau diperolehi oleh mereka secara tradisional.  Artikel ini juga menyatakan bahawa kerajaan harus memberi pengiktirafan dan pelindungan undang-undang ke atas tanah, wilayah dan sumber tersebut dengan memberi penghormatan sewajarnya ke atas adat resam, tradisi dan sistem pemegangan tanah Orang Asli/Asal yang berkenaan.