Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta 597) dan telah diwartakan pada 9 September 2003. Mesyuarat pertamanya telah diadakan pada 24 April 2000. Untuk mengetahui sejarah penubuhan SUHAKAM, klik disini.
Apakah fungsi SUHAKAM?
Fungsi-fungsi utama SUHAKAM adalah:
Untuk memupuk kesedaran dan pendidikan yang berhubung dengan hak asasi manusia;
Untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil;
Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia;
Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.
Apakah hak asasi manusia?
Hak asasi manusia adalah hak yang tidak boleh dipisahkan dan kebebasan yang layak bagi setiap insan sebagai seorang manusia. Hak-hak tersebut menjamin maruah dan harga diri insan manusia serta menggalakkan kebaikan insani.Hak asasi manusia berbentuk sejagat, tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung.
Asas bagi setiap hak asasi manusia ialah kefahaman bahawa setiap insan manusia mempunyai maruah dan harga diri.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mendokumenkan hak-hak asasi manusia yang patut dimiliki oleh setiap insan manusia di dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) untuk memastikan maruah dan harga diri manusia adalah dihormati dan dilindungi.
Apakah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR)?
UDHR adalah suatu dokumen yang menerangkan maksud hak-hak asas dan kebebasan yang dimiliki oleh setiap insan manusia sejak lahir. Perisytiharan yang mempunyai 30 Artikel itu mempromosikan rasa hormat kepada pelbagai hak-hak asasi manusia, daripada hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, sosial dan kebudayaan.
UDHR telah diterimapakai dan diisytiharkan pada 10 Disember 1948 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Telah diperkatakan bahawa hak dan tanggungjawab saling berkait, apakah maksudnya?Hak-hak sewajarnya dilaksanakan bersama tanggungjawab. Ini bermakna:
Hak-hak dilaksanakan dalam keadaan tidak melanggar hak-hak orang lain;
Pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab mengambil langkah-langkah memastikan warga negaranya dapat menikmati hak asasi mereka;
Rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab untuk membuat pengaduan terhadap sebarang pelanggaran hak-hak asasi manusia.
Adakah kanak-kanak juga mempunyai hak-hak asasi?
Ya,dan kanak-kanak mempunyai kerperluan yang istimewa kerana mereka memerlukan orang dewasa untuk menjaga mereka. Demi menjaga kepentingan kanak-kanak,Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengadakan suatu perjanjian antarabangsa untuk kanak-kanak iaitu Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). Konvensyen khas untuk kanak-kanak ini telah di terimapakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1989.
Apakah hak-hak asasi kanak-kanak?
Secara am, setiap kanak-kanak mempunyai empat hak iaitu:
Hak untuk hidup: Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup. Orang dewasa bertanggungjawab menjaga mereka supaya mereka dapat membesar dengan sihat.
Hak untuk mendapat perlindungan: Kanak-kanak mestilah dilindungi daripada keganasan, penganiayaan, eksploitasi dan diskriminasi, serta semua jenis keganasan dan penculikan.
Hak untuk perkembangan: Kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat pelajaran dan perkembangan diri.Setiap kanak-kanak haruslah mendapat pendidikan asas yang percuma, wajib dan berkualiti sebagai tapak untuk terus mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi dan lengkap.
Hak untuk berpersatuan: Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bertemu dan berkawan dengan kanak-kanak lain. Kanak-kanak boleh menganggotai mana-mana persatuan dan berhubung di antara satu sama lain. Mereka mempunyai hak untuk menyatakan pendapat dan menyertai aktiviti-aktiviti yang memberi kesan kepada mereka, bersesuaian dengan tahap umur dan kematangan mereka.
Kenapa kanak-kanak perlu mengetahui mengenai hak-hak mereka?
Kanak-kanak perlu mengetahui mengenai hak asasi manusia supaya mereka boleh mempertahankan hak-hak mereka dan juga hak-hak orang lain. Masyarakat umumnya,akan menjadi lebih penyayang dan dunia menjadi lebih baik sekiranya kita dapat menghormati dan mempertahankan maruah sesama sendiri.
Apa yang boleh anda lakukan sekiranya hak anda dicabuli?
Anda boleh membuat aduan kepada:
Jabatan Kerajaan yang berkenaan;
Biro Aduan Awam; atau
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Jika maklumat ini tidak mencukupi, sila hubungi :-